Projek Tanaman Cili Fertigasi Membuahkan Hasil Lumayan.
- Kisah kejayaan dari portal PerakToday.com
BAGAN SERAI: Semangat kental seorang suri rumah untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarganya membuahkan hasil apabila perusahaan penanaman cilinya telah berjaya.
Norehan Kassim 42, yang berasal dari Sungai Kepar, Simpang Empat Semanggol, telah memulakan penanaman cili secara fertigasi sejak awal tahun ini, dan kini, beliau berjaya memperolehi hasil lebih RM1,000 sebulan.
“Sebelum ini, saya cuma mengurut di rumah. Suami saya, Abu Bakar Harun 42, turut mengurut orang kampung selain melakukan kerja-kerja kampung.
“Kemudian saya mengambil kursus selama tujuh bulan dengan Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKS) di Bagan Serai, dan saya terus buat projek ini (tanaman cili fertigasi),”katanya ketika ditemui.
Ceritanya lagi, beliau telah mengusahakan tanaman ini secara sendiri dengan dengan bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan Gunung Semanggol.
“Saya semai sendiri anak benih dan saya menjaga tanaman ini dari A sampai Z. Saya pilih projek tanaman cili sebab ianya jimat.
“Kalau tanaman lain, kos agak mahal. Tambahan pula, harga cili tak jatuh,”ujarnya.
Ujarnya, harga pasaran cili kini berharga RM13 sekilogram manakala harga borong dalam lingkungan RM8 hingga RM9 sekilogram.
“Saya jual di Bagan Serai secara borong. Kadang-kala, ada yang datang ambil sendiri di rumah,”katanya.
Kata Norehan lagi, beliau telah membelanjakan sebanyak RM4,000 hingga RM6,000 untuk projek tanaman yang seluas suku ekar tersebut.
Tambahnya lagi, kos tersebut tidak termasuk kos untuk menambak tanah. Kos tersebut hanya untuk menampung dari segi piping, tong peralatan fertigasi dan tenaga.
“Dengan keluasan suku ekar, saya dapat tanam lebih dari 1,600 pokok cili. Satu polibeg ditanam dengan dua pokok cili.
“Sekali kutip, saya boleh dapat dalam 30 hingga 50 kilogram. Cili boleh dikutip dalam tempoh dua minggu selepas pokok berbuah dan pokok cili ini, ada tempoh pantang selama dua minggu sebelum boleh dikutip sekali lagi,”ujarnya.
Menurutnya lagi, penanaman cili secara fertigasi ini turut menghadapi cabaran dan halangannya yang tersendiri.
“Cabarannya adalah seperti serangan serangga perosak seperti lalat buah, ulat pokok dan hamama yang sering menyerang waktu musim kemarau.
“Pada awal tahun, kawasan projek tanaman cili ini terkena banjir. Tapi syukur, hanya lima polibeg sahaja yang musnah. Pokok cili ni tak boleh terkena air yang berlebihan, kalau tak pokok akan mati,”ceritanya.
Menurutnya lagi, sehingga kini, beliau hanya menggunakan baja sahaja dan bercadang untuk menggunakan baja organik pada masa akan datang.
“Saya ada juga dapat bantuan daripada Pejabat Peladang dan juga bantuan Jom Tani. Termasuk kali ini, sudah 6 kali saya terima bantuan baja dari Pejabat Peladang dan Bantuan Jom Tani,”katanya.
Ketika ditemui juga, beliau turut memberi nasihat dan melahirkan harapan beliau untuk masa akan datang.
“Projek tanaman cili ini boleh bagi pendapaan lumayan. Tapi perlu buat banyak. Kalau buat sedikit,tak berbaloi.Saya berharap agar saya dapat jadi pembekal anak benih dan juga tenaga pengajar sekiranya boleh,”katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PPK Gunung Semanggol, Mohd Faisol Shafie berkata, pihaknya akan turut membantu memasarkan mana-mana produk pertanian yang berpotensi untuk dipasarkan.
“Di Peladang, kita bukan sahaja pasarkan secara terus..kita pun ada anchor di Bukit Gantang.
“Anchor ini akan kumpulkan semua hasil dari PPK yang berdekatan dan akan pasarkan di kawasan sekitar,”katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan sentiasa menyalurkan bantuan sekiranya ada usahawan-usahawan yang aktif sebagai salah satu tanda sokongan.
https://peraktoday.com.my/2015/08/projek-tanaman-cili-fertigasi-membuahkan-hasil-lumayan/
No comments:
Post a Comment